Monday, December 7, 2009

Katakan Aku Cinta Pada Mu

Salam,

a342_pillow

Cinta adalah permainan hati dan wujud di dalam hati. Oleh itu, bagi menzahirkan kasih sayang dan cinta, ia mesti dilafazkan melalui kata-kata, perbuatan dan kelakuan. Asas kepada penzahiran ini adalah hadis Nabi s.a.w. yang menyuruh kita memberitahu seseorang apabila kita mengasihinya. Sabda Nabi s.a.w. bermaksud: "Apabila seseorang itu kasih akan saudaranya maka beritahulah dia bahawa dia kasihkannya." (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Oleh itu kasih mempunyai pelbagai bentuk; kasih kerana Allah dan agama, kasih kerana kebaikan seseorang serta akhlaknya dan sebagainya.

Dalam aspek rumahtangga, wujud kasih sayang dan cinta antara suami isteri. Ia perlu dizahirkan. Biasanya isteri lebih banyak dan pandai menzahirkannya. Suami pula biasanya kurang romantik dan kurang menzahirkannya. Walau bagaimanapun setiap pasangan harus memulakannya. Jangan hanya harap pasangan anda menzahirkannya sedangkan anda hanya diam membatu diri. Pepatah menyebut "THE MORE YOU GIVE THE MORE YOU GET".

 

LANGKAH MENZAHIRKAN CINTA

  • Panggilan suami isteri. Gunakan panggilan yang baik. Isteri memanggil suami dengan perkataan 'abang, honey, darling, sayang,' Suami pula memanggil isteri dengan panggilan 'honey, darling, sayang,' atau nama manja. Nabi s.a.w. memanggil A'ishah dengan 'Humairaa' yang boleh diertikan 'si merah jambu'. Elakkan panggilan 'ayahnya, bapanya, abahnya, papa, daddy' dan seumpamanya. Elakkan 'maknya, mama' dan sebagainya. Ini berlaku selepas pasangan mendapat anak. Panggilan ini kadang-kadang bukan sahaja digunakan di hadapan anak bahkan semasa pasangan berdua sahaja. Jangan jadikan panggilan 'darling' dan 'sayang' di awal perkahwinan, tetapi di akhir perkahwinan 'pinggan dibaling senduk melayang'.
  • Bantu-membantu. Realiti kehidupan hari ini kedua-dua suami isteri bekerja. Waktu pejabat adalah dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Isteri akan bekerja semula sebagai surirumah seperti memasak, membasuh baju, mengemas rumah dan mengurus anak. Alangkah baiknya jika suami turut membantu kerja-kerja tersebut. Apabila ditanya tentang kerja Nabi s.a.w. di rumah, A'ishah berkata: "Adalah Nabi berkhidmat untuk isterinya (membantu isterinya dalam kerja-kerja rumah). Apabila terdengar azan, baginda keluar". (Riwayat Bukhari)
  • Saling berkomunikasi dan berhubung. Komunikasi amat penting. Berbual dan bertanya khabar adalah satu bentuk komunikasi. Penggunaan SMS dan sebagainya amat baik. Hantarlah mesej tertentu seperti jenaka, teka-teki, cerita seks yang nakal dan sebgainya. Hubungan tanpa komunikasi adalah hubungan yang hambar. Lebih banyak kita berkomunikasi lebih banyak kita memahami. Tetapi waspada...jangan terlebih berkomunikasi hingga bertukar menjadi benci.
  • Hadiah. Hadiahkanlah sesuatu kepada pasangan anda sempena hari keramaian seperti hari ibu, hari pekerja, hari raya atau hari minggu. Hadiah akan mewujudkan kasih sayang. Berilah hadiah nescaya kamu pasti akan kasih-mengasihi. Hadiah tidak semestinya mahal. Yang penting keikhlasan dan penghargaan. Membeli bunga yang berharga RM3 pun sudah memadai.
  • Membuat kejutan. Contohnya suami mengajak isteri makan di tempat tertentu atau sebaliknya pada waktu yang sesuai seperti hari minggu.
  • Menjaga lidah agar tidak bercakap perkara yang tidak sesuai. Mulut murai, mulut 'laser' dan mulut celupar adalah perkara yang mesti dielakkan. Ada kemungkinan kata-kata akan menikam pasangan anda dan menyedihkannya. Disebut dalam hadis bahawa Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah bercakap perkara keji.
  • Memberi galakan terhadap minat pasangan atau hobinya. Salah satu kaedah memberi galakan ialah menyediakan ruang untuk pasangan melakukan aktivitinya, membeli barang kegemarannya atau melibatkan diri dengan hobi tersebut. A'ishah, isteri Nabi Muhammad s.a.w. ingin melihat orang Habsyah bermain. Nabi s.a.w. bersama A'ishah dan menemaninya hingga A'ishah berasa jemu. A'ishah berkata yang bermaksud: "Aku melihat Nabi s.a.w. melindungi aku dengan kain selendangnya, sedangkan aku ketika itu sedang melihat orang Habsyah bermain di masjid hinggalah aku berasa jemu..." (Riwayat Bukhari). Jangan larang pasangan anda melakukan aktiviti kesukaannya. Ada kemungkinan pasangan anda akan menghabiskan masa yang terlalu lama hingga mengabaikan tanggungjawab atau menghabiskan wang yang banyak dengan aktivitinya. Anda boleh berbincang dengan baik bagi mengatasi tabiat buruk itu.
  • Ucapan tanda penghargaan. Jangan lupa mengucapkan terima kasih, ucapan tahniah, ucapan takziah dan sebagainya.
  • Menghargai pemberian pasangan. Jangan dilihat pada kualiti atau harga pemberian itu, tetapi pandanglah pada hati yang ikhlas yang menghadiahkan benda tersebut. Yang lebih penting adalah yang tersirat, bukan yang tersurat. Jaga pemberian tersebut dengan baik. Jika tiada hadiah berbentuk material, ucapan sudah memadai......

No comments:

Post a Comment